"بيني وبينك"

"بيني وبينك"

Saturday, 22 May 2010

Wanita pelengkap kaum Adam


WANITA dalam Islam mempunyai martabat yang tersendiri malah penciptaannya mempunyai rahsia, hikmah serta keistimewaan. Mereka bukan sahaja sebagai pelengkap kehidupan kaum adam tetapi juga penerus generasi manusia di alam ini.

Namun keistimewaan wanita bukanlah sampai ke tahap untuk diagungkan dan kelemahan mereka juga bukan bererti untuk dipijak dan ditindas.

Melihat asal kejadiannya juga yang dicipta dari sebahagian rusuk Nabi Adam a.s, ia tidak dicipta dari kepala kerana mereka bukan makhluk yang perlu dijunjung dan tidak juga diciptakan dari kaki kerana mereka bukan untuk dihina. Tetapi mereka dicipta daripada anggota yang dekat di hati untuk sayangi dan dilindungi.

Namun sejarah wanita dalam pelbagai tamadun dunia memperlihatkan pelbagai evolusi. Sama ada di bumi Arab, India dan China, sejarah wanita menyaksikan mereka menjadi pemuas nafsu kaum lelaki, dinafikan haknya dalam pemilikan harta, pendidikan, sosial dan sebagainya.

Kehadiran Islam meletakkan kedudukan mereka bersesuaian dengan fitrah kejadiannya. Mereka memiliki kekuatan tersembunyi yang sangat diperlukan oleh kaum lelaki sebagai penyempurna kehidupan.

Justeru, buku Wanita dan Keluarga ini membincangkan peranan wanita dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, masyarakat dan rumah tangga. Ia boleh dijadikan panduan untuk kaum wanita dan juga lelaki.

Wanita pada hari ini juga sentiasa berhadapan dengan cabaran dan mampu mencabar golongan lelaki dalam pelbagai bidang terutama kerjaya.

Namun, pada masa yang sama tanggung jawab utama sebagai isteri dan ibu menuntut kepada perhatian dan kualiti yang sewajarnya. Buku ini juga mengupas peranan wanita dalam Islam termasuk aspek pemilihan jodoh, perkahwinan dan tanggung jawab serta peranan terhadap suami.

Contohnya, aspek ketakwaan, akhlak kepada suami serta kebijaksanaan dalam berkomunikasi. Walau bagaimanapun, buku ini bukan sahaja perlu dibaca oleh kaum wanita sebagai panduan berumah tangga tetapi juga kepada kaum lelaki dan suami supaya saling memahami peranan masing-masing.

Ini kerana kebahagiaan itu lahir dari kedua-dua pihak yang berfungsi serta berperanan mengikut lunas-lunas Islam.

Selain itu, buku berharga RM25 ini juga menyediakan panduan bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak dalam menghadapi cabaran semasa. Bermula saat kehamilan, pendidikan anak dalam kandungan, kelahiran dan seterusnya sehingga anak itu membesar dan menjadi dewasa.

Peranan ibu bapa tidak pernah terhenti selagi nyawa di kandung badan. Pelbagai budaya hedonisme yang melingkari kehidupan masyarakat pada hari ini memerlukan ibu bapa mempertingkatkan ilmu serta bijak menangani perubahan minda dan sikap anak-anak.

Justeru, tidak ada erti pencen dalam mendidik anak-anak bagi ibu bapa waima anak itu telah berkahwin.

Transisi dunia kanak-kanak kepada remaja juga perlu difahami oleh ibu bapa supaya mendekati mereka dengan lebih berhemah dan menjadikan mereka sebagai sahabat.

Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 33 adalah antara panduan yang perlu dijadikan panduan dalam pendidikan anak-anak: Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutlah suatu hari (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah SWT adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.

Saturday, 8 May 2010

Hati menjadi beku, mati akibat ketawa melampau

SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan atau penderitaan. Ketawa pula selalu menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasai.

Islam tidak melarang umatnya melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Ini bagi mengelakkan umat Islam dipandang rendah martabatnya oleh orang lain. Ini menyingkap sirah Rasulullah ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah.

Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan bersama Nabi Muhammad di medan peperangan. Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal berperang dengan kekuatan tentera musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.

Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman bermaksud: “Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan.” (Surah at-Taubah: 82).

Jelas daripada maksud ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan. Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku keadaan yang melampau.

Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami. Rasulullah bersabda bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.
Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan akan lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.

Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.

Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia.

Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan